Sunday, May 24, 2009

Kelebihan pergi mendirikan Solat Fardhu berjamaah

Di sana ada sebuah hadis yang sudah pasti akan memeranjatkan sesiapa yang membacanya untuk kali pertama, dan hadisnya pula ialah hadis sahih atau hasan (yang diterima) pada sesetengah ulama, iaitu sabda Baginda S.A.W, ertinya:


"Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan Solat Fardhu berjamaah, maka ianya seperti pahala Haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan Solat Sunat (iaitu Dhuha), maka ianya seperti pahala Umrah Sunat." (1)

(1) Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud, Tabrani, Baihaqi dan dihukumkan sanadnya sebagai hasan oleh Syeikh Arnaut di dalam Jami' Al Usul 9/416, dan dihukumkan sahih pada riwayat yang lain.


Mungkin apabila membaca hadis ini, kita akan merasa ragu tentang kebenaran hadisnya, kerana takkanlah dengan hanya berjalan untuk pergi mendirikan Solat Fardhu berjamaah akan mendapat pahala satu Haji!

Perlu diingatkan bahawa hadis ini telah dihukumkan sahih atau hasan oleh ramai ulama, ini menunjukkan bahawa hadis ini membawa erti yang besar iaitu perkara-perkara yang diwajibkan oleh Allah Ta'ala sudah tentu mempunyai ganjaran yang amat besar sekali berbanding dengan perkara yang disunatkan.

Bahkan ada amalan-amalan sunat yang tidak sah dilakukan jika amalan yang wajib belum dilaksanakan lagi atau diqadha'kan. Begitu jugalah seperti Solah Fardhu yang disertakan pula dengan berjamaah di masjid (1) sudah tentu mempunyai ganjaran yang terlalu besar.

(1) Hadis tidak mnyebutkan bahawa berjemaah itu semestinya di masjid. ini bermakna juka seseorang itu ada keuzuran sehingga tidak dapat hadir ke masjid dan terpaksa bersolat bersama keluarga di rumah, insya-Allah, dia juga akan mendapat pahala seperti satu Haji Juga! Hadis ini jelas memberikan galakan supaya sentiasa mendirikan solat berjemaah walau apa jua keadaan, walaupun sewaktu berklah atau melancung ke luar negeri dan susah untuk menemukan masjid, atau measjidnya agak terlalu juah.

Satu misalan yang jelas bagaimana satu amalan yang wajib yang ditinggalkan dengan tanpa uzur, tidak dapat diganti dengan "pahala" amalan sunat atau diqadha'kan sekalipun, sebagaimana sabda Rasulullah SAW kepada orang yang tidak berpuasa satu hari di bulan Ramadhan tanpa uzur, iaitu kelebihan yang dia telah ditinggalkan tidak sama dengan amalan puasa sunat seumur hidupnya!

Ramai kalau kita perhatikan di kalangan masyarakat Islam yang mengambil berat tentang amalan-amalan sunat, sehingga amalan yang wajib tidak begitu di ambil berat, sedangkan Allah S.W.T di dalam Hadis Qudsi ada menyatakan, ertinya:

"Dan tidaklah hambaku beramal untuk mendekatkan dirinya kepada Ku dengan sesuatu yang lebih Aku sukai, seperti bila dia melakukan fardhu yang Aku perintahkan ke atasnya." (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari)

Maksud hadis ini untuk mudah difahami ialah, tidak ada yang lebih disukai oleh Allah Ta'ala daripada hambanya, melainkan ia melaksanakan apa yang diwajibkan oleh Allah Ta'ala.

Sebab itulah perkara yang diwajibkan oleh Allah Ta'ala sepatutnya yang perlu diutamakan dahulu, sebelum melaksankan apa-apa amalan yang sunat, kerana amalan yang wajib itu adalah terutama.

Sumber: Buku Bagaimana Mendapat Pahala Hidup 7000 Tahun oleh Hj Ahmad Haris Suhaimi

Kisah Mubarak

Dikisahkan dari Mubarak, ayahanda Abdulllah Ibnu al-Mubarak yang merupakan seorang ulama dan Muhaddith yang terkenal di zamannya, bahawanya dia pernah bekerja di sebuah kebun milik seorang majikan. Agak lama juga beliau bekerja dan tinggal di kebun tersebut.

Pada suatu ketika, majikannya iaitu salah seorang saudagar dari Hamdzan berkata, “Wahai Mubarak, aku ingin sebuah delima yang manis.”

Mubarak pun bergegas menuju ke salah satu pohon dan mengambil sebiji delima lalu dimakannya dan berkerutlah dahinya kerana rasa delima itu masam.

Dia pun memarahi Mubarak sambil berkata, “Aku minta yang manis malah kau beri yang masih masam! Cepat ambilkan yang manis!”

Mubarak pun bergegas pergi memetik buah delima daripada pohon yang lain. Setelah dibuka oleh majikannya, ia dapati rasanya sama seperti yang pertama tadi.

Semakin marahlah majikannya lalu meminta buah delima yang lain. Tetapi buah yang masih masam juga dipersembahkan buat majikannya.

Setelah itu, majikan Mubarak bertanya, “Mengapa kamu tidak tahu memilih buah mana yang manis dan mana yang masam?”

Mubarak menjawab. “Tidak.”

“Macam mana boleh jadi begini?” Tanya majikannya lagi.

Lantas Mubarak menjelaskannya, “Sebab aku tidak pernah makan buah dari kebun ini sampai aku benar-benar pasti tentang halalnya.”

“Kenapa engkau tidak mau memakannya?” Tanya majikannya hairan bercampur kagum.

“Kerana tuan belum mengizinkan aku untuk makan dari kebun ini.” Jawab Mubarak.

Pemilik kebun tersebut benar-benar hairan dan terkejut dengan jawapan Mubarak. Pemilik kebun tersebut mengagumi kejujuran budaknya ini, Mubarak menjadi besar dalam pandangan matanya, dan bertambah pula nilai orang ini di sisinya.

Kebetulan majikan tadi mempunyai seorang anak perempuan yang telah dilamar oleh ramai pemuda. Lantas beliau meminta pendapat Mubarak,

“Wahai Mubarak, menurut pandanganmu siapakah yang paling layak memperisteri puteriku?”
Dengan tenang Mubarak memberikan pendapatnya,

“Dulu orang-orang jahiliyah menikahkan puter-puteri mereka lantaran keturunan. Orang Yahudi menikahkan puteri mereka kerana harta benda, sementara orang Nasrani menikahkan puteri mereka kerana keelokan paras rupa. Dan umat ini menikahkan puteri mereka kerana agama."

Bertambahlah takjub dan kagum majikan tersebut dengan daya pemikiran budaknya ini. Akhirnya beliau balik dan memberitahu isterinya,

“Menurut pandangan-ku, tidak ada yang lebih layak untuk puteri kita ini selain Mubarak.”

Dengan izin dan kurniaan Ilahi, Mubarak pun berkahwin dengan puteri majikannya dan mertuanya memberikannya harta yang cukup melimpah.

Hasil daripada perkahwinan yang mulia ini, Allah SWT telah mengurniakan insan mulia yang diberi nama Abdullah. Abdullah bin al-Mubarak merupakan seorang ulama’ yang muktabar, Muhaddith, mujahid yang memperjuangkan agama Allah SWT sehingga akhir hayatnya.

Fudhail bin ‘lyad pernah berkata sambil bersumpah, “Demi pemilik Ka’abah, kedua mataku belum pernah melihat orang yang seperti Ibnu al-Mubarak”

Teman-teman yang dikasihi, insan dan perkahwinan yang mulia akan melahirkan keluarga yang mulia, keluarga yang mulia akan melahirkan masyarakat yang mulia, masyarakai yang mulia akan melahirkan negeri dan Negara yang mulia, negeri dan Negara yang mulia akan melahirkan dunia yang mulia.

Detik ini, insan jujur dan mulia semakin kabur dari pandangan. Yang jujur dan amanah dipandang pelik dan dikira tidak bijaksana. Kecurangan dan penipuan semakin mengganas namun dipandang mulia dan bijak.

Akhirnya jadilah masyarakat yang tempang dan pincang, maksiat dan jenayah berleluasa menyelusup setiap penjuru kehidupan manusia. Yang tua sudah tidak dihormati, yang kecil tidak lagi disayangi.

Kisah anakanda Nurin merupakan secebis kisha daripada robekan besar kemusnahan dan keruntuhan khalayak dunia. Fikir-fikiranlah.

Salam saying dan al-Fatihah buat semua mangsa janayah, semoga roh kalian bersama roh para Rasul dan pejuang kebenaran.

Petikan dari Majalah Al-Tariq, Jabatan Mufti Negeri Sembilan

Sunday, April 19, 2009

17 Kesalahan Berkaitan Solat

SEMBAHYANG adalah amalan pertama yang dihisab Allah pada akhirat nanti. Jika sembahyang seseorang baik, baiklah pula seluruh amalannya dan begitu sebaliknya.

Sembahyang perlu dipelihara sebaik-baiknya. Antara kesalahan yang selalu dilakukan berkaitan sembahyang adalah:


1. Meninggalkan sembahyang.


Hal ini adalah suatu kekufuran berdasarkan al-Quran, sunnah dan ijmak.

Allah berfirman bermaksud: "Apakah yang membuat kalian masuk ke dalam Neraka Saqar?' Mereka menjawab: "(Kerana) kami dulu tidak termasuk orang yang mendirikan solat." (Surah al-Muddatstsir, ayat 4)

Rasulullah saw bersabda: "Perjanjian antara kami dengan mereka adalah solat, barang siapa meninggalkannya maka dia kafir." (Hadis riwayat Ahmad dan lainnya).

2. Melengah-lengahkan solat.

Firman Allah bermaksud : "Sesungguhnya solat itu wajib atas orang beriman dalam waktu yang sudah ditentukan." (Surah an-Nisa, ayat 103)

Oleh itu, melengah-lengahkan solat tanpa uzur yang dibolehkan syarak adalah berdosa besar.

Rasulullah bersabda: "Itu adalah solat orang munafik. Dia duduk menunggu matahari, sampai jika matahari sudah berada antara dua tanduk syaitan (hendak tenggelam) dia berdiri dan menukik empat rakaat, sedangkan dia tidak mengingat Allah dalamnya kecuali sedikit." (Hadis riwayat Muslim).

3. Meninggalkan solat berjemaah.

Solat berjemaah adalah wajib kecuali bagi orang yang memiliki uzur yang dibolehkan syarak. Sabda Rasulullah bermaksud: "Siapa yang mendengarkan seruan azan tetapi tidak memenuhinya maka tidak ada solat baginya, kecuali kerana uzur." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Allah berfirman, maksudnya: "Dan rukuklah bersama orang yang rukuk.(Surah al-Baqarah, ayat 43).

Rasulullah bersabda: "Kemudian aku mengutus (utusan) kepada orang yang tidak solat berjemaah, hingga aku bakar rumah mereka." (Muttafaq Alaih).

4. Tidak thuma'ninah dalam solat.

Thuma'ninah adalah rukun solat dan tidak sah solat tanpanya. Thuma'ninah ertinya tenang ketika sedang rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud.

Tenang maksudnya sampai tulang kembali pada posisi dan persendiannya, tidak tergesa-gesa dalam penggantian dari satu rukun ke rukun lainnya.

5.Tidak khusyuk dan banyak gerakan dalam solat.

6. Mendahului atau menyelisihi imam. Hal ini boleh menyebabkan solat batal.

Makmum hendaklah mengikuti imam, tidak mendahului atau terlambat. Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya diadakannya imam itu untuk diikuti, kerana itu jika dia bertakbir, bertakbirlah, dan jangan kalian bertakbir sampai dia bertakbir, dan jika dia rukuk, maka rukuklah dan jangan kalian rukuk sampai dia rukuk..." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

7. Bangun dari duduk untuk menyempurnakan rakaat sebelum imam selesai dari salam kedua.

8. Memandang ke langit (atas) atau menoleh ke kiri dan ke kanan ketika solat.
Hal ini diperkatakan Rasulullah dalam sabdanya: "Hendaklah orangmu berhenti daripada mendongakkan pandangannya ke langit ketika solat atau Allah tidak mengembalikan pandangannya kepada mereka." (Hadis riwayat Muslim).

"Dan jauhilah orang yang menoleh dalam solat kerana sesungguhnya ia adalah suatu kebinasaan." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

9. Mengenakan pakaian nipis yang tidak menutupi aurat.

Hal ini membatalkan solat kerana menutup aurat adalah syarat sah solat.

[bb]10. Tidak memakai tudung dan menutupi telapak kaki bagi wanita kerana aurat wanita dalam solat adalah seluruh tubuhnya kecuali wajah dan telapak tangan.

Ummu Salamah ditanya mengenai pakaian solat wanita. Beliau menjawab: "Hendaknya dia solat dengan kerudung, dan baju kurung panjang yang menutupi kedua-dua telapak kakinya."

11. Melintas di depan orang yang sedang solat.

Rasulullah bersabda: "Seandainya orang yang lalu di depan orang solat itu mengetahui dosanya, tentu berhenti (menunggu) empat puluh (tahun) lebih baik baginya daripada melintas di depannya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

12. Tidak melakukan takbiratul ihram ketika mendapati imam sedang rukuk.

Takbiratul ihram adalah rukun solat dan wajib dilakukan dalam keadaan berdiri, baru kemudian mengikuti imam yang sedang rukuk.

13. Tidak langsung mengikuti keadaan imam ketika masuk masjid.

Orang yang masuk masjid hendaknya langsung mengikuti imam, baik ketika itu sedang duduk, sujud atau lainnya.

Rasulullah bersabda: "Jika kalian datang untuk solat dan kami sedang sujud, maka sujudlah!" (Hadis riwayat Abu Daud).

14. Melakukan sesuatu yang melalaikan daripada solat seperti menonton televisyen dan bersembang.

Allah berfirman, maksudnya: "Wahai orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikanmu daripada mengingat Allah, barang siapa melakukan demikian maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Munafiqun, ayat 9).

15. Makruh memejamkan mata ketika solat tanpa keperluan seperti diriwayatkan Ibnu Qayyim berkata, Nabi tidak mencontohkan solat dengan memejamkan mata.

Tetapi, jika memejamkan mata diperlukan, misalnya, kerana di hadapannya ada lukisan atau sesuatu yang menghalangi kekhusyukannya maka hal itu tidak makruh.

16. Tidak melurus atau merapatkan barisan ketika berjemaah.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Kalian mahu meluruskan barisan kalian atau Allah akan membuat perselisihan antara hati kalian." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

17. Tidak memperhatikan sujud dengan tujuh anggota.

Nabi Muhammad saw bersabda: "Kami diperintahkan untuk sujud dengan tujuh anggota; kening dan beliau mengisyaratkan dengan tangannya sampai ke hidungnya, dua tangan, dua lutut dan dua telapak kaki." (Muttafaq Alaih)

Kisah 5 Perkara Aneh

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat:-
  1. Apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah,
  2. Engkau sembunyikan,
  3. Engkau terimalah,
  4. Jangan engkau putuskan harapan,
  5. Larilah engkau daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi kebingungan sambil berkata,

"Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."

Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.

Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu."

Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu, mangkuk emas itu keluar semula dari tempat ia ditanam. Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil.

Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."

Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku." Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalananya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa,
  1. Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
  2. Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.
  3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.
  4. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
  5. Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain.

Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu." Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Wednesday, April 1, 2009

Gadis yang terbakar tangannya

Firman Allah dalam ayat 37 surah an-Nisaa':

Ertinya: Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka daripada limpah kurniaan dan(sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat hina.


.....................................................................................

Pada suatu ketika, ada seorang gadis yang bernama Jariah datang menemui Rasulullah SAW. Ketika itu dia dalam keadaan sedih sambil memegang tangannya. Dia mahu mengadu kepada Rasulullah tentang kanannya yang sakit dan merah kehitaman.

"Ya Rasulullah, tolonglah saya. Saya tidak mampu menaham kesakitan tangan saya ini. Sudilah Rasulullah mendoakan tangan saya ini supaya pulih seperti sediakal," rayu gadis itu.

Rasulullah berasa terharu dengan penderitaan gadis itu, lalu baginda berkata "Wahai Jariah, kenapa tanganmu itu boleh terbakar?"

"Pada malam itu, saya bermimpi. Ketika saya bangun, saya dapati tangan saya sudah terbakar," kata gadis itu lagi.

Rasulullah pun bertanya kepadanya, "Cuba ceritakan kepadaku tentang mimpi kamu."

"Malam tadi, saya bermimpi seakan-akan hari kiamat telah datang. Suasana dunia menjadi goncang, gunung-ganang berterbangan. Ia sungguh mengerikan dan tidak pernah saya melihatnya sebelum ini. Saya juga dapat melihat orang-orang di dalam neraka Jahanam yang meluap-luap apinya.

"Di tempat lain pula saya melihat syurga yang luas dan terbuka lebar. Ketika saya menyaksikan api neraka Jahanam itu, saya seolah-olah pengsan kerana ngeri melihatnya. Saya sangat terkejut apabila melihat ibu saya berada di dalam jurang neraka. Keadaan ibu sangat menyedihkan. Saya hairan kenapa ibu ditempatkan di neraka sedangkan dia membuat amalan baik di dunia," terang gadis itu.

"Bagaimana keadaan ibu kamu ketika di dunia?" tanya Rasulullah.

"Wahai Rasulullah, ibu saya adalah seorang yang kuat beribadat, taat kepada suami, sabar dan bercakap benar," jawab gadis itu.

"Mengapa ibumu ditempatkan di neraka?" tanya Rasulullah lagi.

"Di dalam mimpi saya itu, saya telah bertemu dengan ibu. Ibu mengatakan itulah tempat bagi orang-orang yang bakhil. Hanya sehelai kain dan sepotong lemak yang dibawanya di mana dia pernah menyedekahkannya sewatu berada di dunia. Dengan amalan itu sahajalah, ibuku dapat berlindung daripada api neraka. Kemudian saya bertanya pula kepada ibu, di manakah ayah berada? Ibu memberitahu ayah sedang berada di syurga.

Kemudian, saya pergi mencari ayah di dalam syurga. Saya lihat ayah sangat bahagia di situ. Ayah sedang memberi minuman kepada sahabat-sahabatnya. Air minuman itu diambil daripada tangan Saidina Ali, kemudian Saidina Ali pula mengambilnya daripada Saidina Umar dan Saidina Umar juga mengambil air itu daripada tangan Rasulullah.

Kemudian, saya bertanya kepada ayah, kenapa ayah memberi minuman itu kepada orang lain, kenapa tidak memberikan minuman itu kepada ibu? Ayah memberitahu saya bahawa ibu berada ditempat orang-orang yang bakhil dan orang-orang yang membuat maksiat kepada Allah. Dengan sebab itulah, Allah mengharamkan mereka daripada telaga Rasulullah.

Wahai Rasulullah, saya kasihan melihat ibu, lalu saya mengambil air dari telaga Rasulullah, kemudian diberikan kepada ibu untuk diminum. Tiba-tiba, ibu mengeluarkan suara yang menakutkan. Allah telah membakar tangan saya kerana memberikan ibu minum air yang diambil dari telaga Rasulullah. Sedangkan telaga itu hanya untuk orang-orang yang tidak membuat maksiat dan orang-orang yang suka berbuat sedekah," cerita gadis itu dengan jelas.

Maka Rasulullah berkata kepada gadis itu, "Kerana sifat bakhil ibumu itulah yang menyebabkan dia menjadi penghuni neraka".

Setelah melihat tangan gadis yang terbakar itu, Rasulullah meletak tongkatnya pada tangan gadis itu sambil berdoa, "Ya Allah, ya Tuhanku, sembuhkanlah tangannya."

Dengan kehendak Allah SWT dan berkat daripada Rasulullah, tangan gadis itu sembuh seperti sediakala.

Petikan dariapda buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn Bhd