Saturday, June 6, 2009

Fitnah oh fitnah

Pernah diriwayatkan dalam kitab-kitab sirah nabawiyyah yang masyhur bahawa Sayyidatina 'Aisyah Radhiyallahu'anha telah ikut serta bersama-sama Rasulullah S.A.W dalam peperangan menentang Yahudi Bani Al-Mustaliq.

Peristiwa Bani Mustaliq ini juga merupakan satu peristiwa yang pahit kepada umat Islam yang menyentuh rumahtangga Rasulullah S.A.W dan ia juga menyentuh tentang isteri baginda yang mana 'Aisyah Radhiyallahu 'Anha mendapat undian untuk mengiringi Rasulullah S.A.W dalam peperangan Bani Mustaliq kerana menjadi adat kepada Rasulullah apabila membawa isterinya musafir akan dilakukan pengundian dikalangan mereka.

Dalam perjalanan pulang berlaku perkara yang menjadi sebab kepada berlakunya fitnah yang disebarkan oleh kalangan orang-orang munafiq. Apabila Rasulullah berhenti pada suatu tempat, dan Sayyidatina 'Aisyah terus turun dari suqduf unta untuk qadha hajat, tiba-tiba kalung yang dipinjamkan dari saudara perempuannya tercicir, 'Aisyah pun kembali semula ke tempat beliau qadha hajat untuk mencari kalung yang telah tercicir. Kebetulan pada waktu itu pasukan tentera Islam telah sedia untuk berangkat, maka mereka yang ditugaskan untuk mengangkat suqduf ke atas unta tiada menyedari bahawa Sayyidatina 'Aisyah tidak ada di dalamnya, lalu pasukan tentera Islam pun berangkat meninggalkan Ummul Mu'minin Radhiyallahu 'Anha.

Apabila Sayyidatina 'Aisyah ke tempat untanya beliau telah mendapati bahawa orang ramai sudah tiada di situ, maka tiada jalan baginya pada waktu malam melainkan menunggu di tempat itu juga mudah-mudahan ada orang yang akan datang sehingga beliau tertidur.

Tiba-tiba salah seorang anggota pasukan tentera Islam yang bernama Safwan Bin Al-Mu'tal Radhiyallahu 'Anhu yang tabiatnya gemar tidur sehingga ditinggalkan oleh orang lain, apabila dia bangun dan bersedia untuk bertolak tiba-tiba telah terlihat seorang perempuan. Demikian alangkah terkejutnnya Safwan Bin Al-Mu'tal apabila beliau mendapati bahawa perempuan itu adalah Ummul Mu'minin Sayyidatina 'Aisyah radhiyallahu 'Anha.

Safwan Bin Al-Mu'tal terus menurunkan untanya supaya dapat ditunggangi oleh sayyidatina 'Aisyah dan mengheret unta itu pulang ke Madinah Al-Munawwarah, dan mereka bertemu semula dengan dengan pasukan tentera Islam di Nahru Zahirah, maka terkejutlah orang ramai melihat kedatangan mereka. Setelah mengetahui perkara yang sebenar, mereka pun bercakap dengan cara yang layak baginya.

Tetapi Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah mentaqdirkan suatu ujian yang pahit, apabila pemimpin munafiq atau bapak segala munafiq, 'Abdullah Bin Ubai Bin Salul mengetahui perkara ini dan sedar bahawa inilah peluang terbaik baginya untuk melepaskan dendam dan bencinya terhadap Rasulullah S.A.W. Maka bapak munafiq ini telah mengambil kesempatan daripada peristiwa itu untuk mencipta serta menaburkan fitnah yang amat dahsyat sehingga terdapat beberapa orang Islam terpengaruh dengan fitnah tersebut.

Pada peringakat awalnya, sayyidatina 'Aisyah tidak mengetahui fitnah yang disebarkan ke atasnya itu sehinggalah Ummu Mistah memberitahu akan hal ini kepadanya. Para Sahabat Radhiyallahu 'Anhum berbelah bagi untuk menerima berita ini.

Adapun mengikut riwayat bahawa Sayyidina 'Ali telah mencadangkan kepada Rasulullah S.A.W menceraikannya sahaja secara menyindir dan tidak menabur fitnah. Adapun Usamah Bin Zaid Radhiyallahu 'Anhuma dan sahabat yang lainnya meminta supaya 'Aisyah dipelihara terus sebagai seorang isteri. Adapun Usaid Bin Hudir pemimpin Aus berkelahi dengan Sa'ad Bin 'Ubadah apabila Usaid mahu membunuh 'Abdullah Bin Ubai Bin Salul bapak munafiq yang menabur dan menyebarkan fitnah ini, sedangkan Sa'ad dari qabilah yang sama dengan 'Abdullah Bin Ubai membelanya.

Adapun Rasulullah S.A.W mendiamkan diri. Sayyidatina 'Aisyah pula merasakan bahawa sikap Rasulullah telah berubah hati terhadapnya, lalu Sayyidatina 'Aisyah telah meminta izin untuk ulang ke rumah orang tuanya iaitu Abu Bakar As-siddiq Radhiyallahu 'Anhu.

Adapun tiba-tiba Rasulullah telah pergi menemui Sayyidatina 'Aisyah Radhiallahu 'Anha di rumah Sayyidina Abu Bakar, setelah bertasyahhud maka Rasulullh S.A.W pun bersbda ;


"Wahai 'Aisyah...!!! sesungguhnya telah sampai kepadaku berita tentangmu. Jika sekiranya kamu seorang yang bersih dari fitnah itu maka Allah akan membersihkanmu, jika sekiranya kamu mengerjakan dosa maka mohonlah ampun dan bertaubatlah kepada Allah, kerana seseorang hamba itu apabila mengaku dosanya kemudian dia bertaubat kepada Allah nescaya Allah maha menerima taubatnya."


Sayyidatina 'Aisyah terus menangis sehingga kedua-dua orang tuanya memaksa sayyidatina 'Aisyah menjawab, lalu beliau menjawab ;


" Demi Allah...!!! Aku telah mendengar berita itu dan kamu juga mendengarnya, supaya puas hati kamu maka aku suka menegaskan bahawa sesungguhnya aku masih bersih daripada fitnah itu dan Allah Maha Mengetahui bahawa aku masih bersih tetapi kamu tidak mahu mempercayainya. Jika sekiranya aku mengaku seperti itu, Allah Maha Mengetahui aku ini tida bersalah nescaya kamu mempercayainya. Demi Allah...!!! Aku tidak ada apa yang hendak dikatakan melainkan seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Yusof 'Alaihissalam : Sabar itulah yang paling baik dan Allah sahaja tempat meminta pertolongan di atas apa yang kamu sifatkan terhadapku ( Yusuf: ayat-18) "

Akhirnya Allah Subhanahu Wa Ta'ala menurunkan wahyunya bagi membela dan membersihkan 'Aisyah Radhiyallahu 'Anha daripada sebaran fitnah dan tuduhan oleh orang-orang munafiq dalam firman-Nya yang bermaksud ;

11) Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ( fitnah kepada 'Aisyah ) ialah segolongan dari kalangan kamu ; janganlah kamu menyangka ( berita yang dusta dan palsu ) buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu, tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar ( di dunia dan di akhirat ).

12) Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-rang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka terhadap diri mereka sendiri dan berkata ' ini adalah tuduhan yang dusta yang nyata.

13) Sepatutnya mereka ( yang menuduh ) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu, oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi, maka mereka disisi hukum Allah, adalah orang-orang yang berdusta.

14) Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu.

15) Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya, dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.

16) Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata ; tidak layak bagi kami memperkatakan hal ini...!!! Maha Suci Engkau ( Ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli bait Rasulullah ) ini adalah satu dusta besar yan amat mengejutkan.

17) Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.

18) Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan ( hukum-hukum-Nya ); kerana Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana.

( Surah An-Nur ayat 11-18 )

Apabila ayat-ayat ini dibacakan kepada Sayyidatina 'Aisyah maka kedua-dua orang tuanya menyuruh 'Aisyah bangun untuk menghormati Rasulullah S.A.W. Tetapi 'Aisyah menjawab ; "Demi Allah...!!! aku tidak bangun padanya, dan aku tidak mahu memuji selain Allah sahaja "

Demikian setelah berlakunya fitnah ini maka dijatuhkan hukuman sebat sebanyak lapan puluh kali kepada beberapa orang yang menyebarkan fitnah dikalangan lelaki dan perempuan, tetapi 'Abdullah Bin Ubai dibiarkan keran telah cukup kepadanya janji daripada Allah untuk menyeksanya di hari pembalasan dan kerana ingin mengelakkan fitnah yang lebih besar.(albanjary)

Friday, June 5, 2009

Banyakkan Bersabar

Hadith:
Daripada Anas r.a. katanya, “ Aku berjalan bersama-sama Rasulullah saw.

Baginda memakai selendang kasar tepinya buatan Najran.

Baginda bertemu dengan seorang Arab badwi lalu direntapnya selendang baginda dengan rentapan yang kasar sehingga aku melihat kesan di tengkuk baginda akibat rentapan yang kasar itu.

Kemudian orang arab itu berkata:

“Wahai Muhammad perintahkanlah supaya diberikan kepadaku daripada harta Allah apa yang ada pada kamu,”

Maka Rasulullah saw berpaling kepadanya sambil ketawa. Kemudian baginda memerintahkan supaya diberikan sedekah kepadanya.

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian:
1. Rasulullah saw adalah seorang yang pemaaf dan tidak suka membalas dendam serta tidak mudah marah.

2. Umat Islam hendaklah mencontohi sifat-sifat mulia tersebut kerana sifat-sifat ini mempunyai nilai-nilai kebaikan yang amat tinggi yang akan menimbulkan kesedaran kepada orang lain yang menerimanya.

3. Islam menggalakkan umatnya supaya bertindak dengan cara yang bijaksana apabila berhadapan dengan golongan yang jahil dan hendaklah menunjukkan sikap yang lemah lembut agar dapat menarik hati mereka kepada Islam.

Thursday, June 4, 2009

Juadah Kegemaran Rasulullah SAW

a. Manisan dan Madu
Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Aishah RA bahawa beliau menceritakan: “Nabi SAW sangat menyukai manisan dan madu.”

b. Minyak Zaitun
Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Makanlah minyak zaitun dan berminyaklah (rambut) dengannya. Sesungguhnya ianya berasal daripada pohon yang diberkati.”

c. Cuka
Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Aishah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Cuka adalah sebaik-baik hidangan (lauk).”

Disebutkan di dalam hadis lain bahawa rumah yang mempunyai cuka di dalamnya sudah mencukupi daripada makanan atau lauk lain. Dikatakan juga, Rasulullah SAW pernah memohon keberkatan bagi cuka. Dikatakan lagi, bahawa cuka merupakan lauk bagi nabi-nabi terdahulu. Wallahualam.

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Wednesday, June 3, 2009

Rasulullah SAW Tidak Pernah Makan Kenyang

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Masruq RA, katanya: “Aku telah menemui Aishah RA, lalu beliau menghidangkan sesuatu kepadaku dan berkata: Aku tidak pernah makan kenyang, bilamana aku terasa hendak makan, mulalah aku menangis. Masruq bertanya: Mengapa? Jawabnya: Aku teringat perihal Rasulullah SAW yang telah meninggalkan dunia ini, demi Allah! Rasulullah SAW tidak pernah kenyang dengan daging atau roti dua kali dalam sehari.”

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa beliau menceritakan: “Rasulullah SAW sering bermalam berhari-hari sedangkan Baginda dan keluarganya tidak mempunyai sebarang makanan yang dapat dijamah di malam dan roti yang sering dimakan Rasulullah SAW adalah yang diperbuat daripada gandum.”

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Aishah RA bahawa beliau menceritakan: “Keluarga Muhammad SAW tidak pernah kenyang dua hari berturut-turut dengan roti yang diperbuat daripada gandum. Keadaan tersebut berterusan sehinggalah Rasulullah SAW wafat.”

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Tuesday, June 2, 2009

Gaya Berjalan Rasulullah SAW

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa beliau menceritakan: “Daku tidak pernah melihat seorang pun yang terlebih kacak daripada Rasulullah SAW. Cahaya dan seri wajah Baginda seolah-olah matahari itu sendiri memancar dari wajahnya. Aku juga tidak pernah melihat seorang pun yang terlebih laju berjalannya (kerana kesempurnaan tubuh badan Baginda) seolah-olah bumi telah dilipatkan untuknya. Jika suatu ketika Baginda di sini, sekejap lagi kelihatan Baginda di sana. Walaupun dalam beberapa ketika Baginfa berjalan secara biasa, kami yang berjalan bersamanya tetap merasakan perlu untuk melangkah dengan susah payah.”

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ali RA bahawa beliau menceritakan: “Rasulullah SAW apabila berjalan, Baginda berjalan dengan mantap, kemas dan bertenaga.”

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah