Thursday, June 11, 2009

Bersabar Dalam Berdoa

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi SAW telah bersabda:”Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturrahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan.”

Lalu baginda ditanya oleh seseorang:”Apa maksudnya meminta dicepatkan?”

Jawab baginda:”Umpamanya seseorang itu berkata dalam doanya:”Aku telah berdoa, aku telah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan.

Lalu aku putus asa dan berhenti berdoa.” (Muslim)

Huraian:
Betulkah setiap doa akan dikabulkan oleh Allah?

Mungkin ada antara kita yang telah berdoa sesuatu namun tidak merasakan keberhasilannya.

Selaku hamba, kita harus menyedari bahawa kita tidak berhak memaksa Allah kerana kitalah yang berhajatkan sesuatu bukan sebaliknya.

Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita atau mungkin Allah mempunyai ketentuan lain yang tidak kita ketahui.

Mungkin juga doa kita bukan tidak dikabulkan tetapi ditunda waktunya atau diganti dengan yang lebih baik.

Nabi Zakaria a.s adalah contoh manusia yang sangat kuat nilai kesabarannya.

Baginda telah puluhan tahun berdoa agar dikurniakan zuriat namun belum dikabulkan Allah. Antara isi doa baginda ialah:

“Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku. (Maryam:4) sehingga pada akhirnya Allah SWT memakbulkan permintaan baginda dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya.

Begitulah sikap yang seharusnya kita contohi iaitu jangan sekali-kali kecewa dalam berdoa.

Wednesday, June 10, 2009

Gaya Rasulullah SAW Duduk Bersandar

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Jabir bin Abu Samarah RA bahawa beliau menceritakan: “Aku melihat Rasulullah SAW duduk sambil bersandar ke atas bantal yang terletak disebelah kirinya.”

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Tuesday, June 9, 2009

Larangan Makan Sambil Bersandar

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Juhlah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Daku tidak makan sambil bersandar kepada sesuatu.”

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Monday, June 8, 2009

Cara Rasulullah SAW Makan

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Kaeb bin Malik RA bahawa beliau menceritakan: “Rasulullah SAW apabila selesai makan, Baginda akan menjilat jarinya yang tiga (Baginda menggunakan tiga jari).” Katanya lagi: “Rasulullah SAW apabila selesai makan, Baginda akan menjilat jarinya sebanyak tiga kali.”

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Sunday, June 7, 2009

Doa Menghilangkan Kesedihan, Tekanan Hutang & Malas

Suatu ketika seorang sahabat sedang bersedih. Lantas Rasulullah SAW bertemu dan bertanya kepadanya: "Wahai sahabat, mengapa kamu bersedih?"

Lantas sahabat tadi menjawab: "Ya Rasulullah, aku bersedih kerana beban kehidupan yang terlalu berat di atas pundakku."

"Apa dia?" kata Rasulullah.


"Hutang yang membelenggu diriku, dan kesedihan yang mengikat sanubariku."

Lantas Baginda SAW bertanya: "Apakah kau ingin aku ajarkan satu doa, satu amalan, yang jika kau amalkan nescaya segala kesedihan, segala kedukaanmu, akan diangkat oleh Allah SWT, akan dipulihkan, akan diganti dengan kegembiraan dan kebahagiaan?"

"Balaa ya Rasulullah. Sebutlah, apakah doa, apakah amalan itu ya Rasulullah."

Lantas Baginda mengajarkan sepotong doa. "Wahai sahabatku, jika kamu amalkan doa ini setiap pagi dan setiap petang, insya Allah sebanyak manapun hutangmu, akan dilunaskan Allah SWT; setebal manapun kedukaanmu, akan dilenyapkan oleh Allah SWT."

“Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.”