Tuesday, December 29, 2009

Bulan Islam: MUHARAM

Muharam adalah bulan pertama daripada bulan-bulan hijriah. Ianya merupakan bulan yang istimewa kerana ia termasuk daripada Bulan Haram yang empat iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Dinamakan dengan Muharam kerana bersangatan pengharaman peperangan padanya. Pada bulan ini tidak akan kedengaran desiran padang atau paluan gendang peperangan. Pengharaman tersebut disebutkan adalah kerana para jemaah haji sedang bersibuk-sibuk bersiap dan kembali ke tanahair mereka. Justeru, peperangan diharamkan agar para jemaah haji dapat pulang ke tanahair masing-masing dengan aman dan selamat.


KEISTIMEWAAN BULAN MUHARAM


Dalam menyebutkan keistimewaan bulan Muharam, Nabi SAW pernah menyatakan bahawa Muharam adalah “Bulan Allah”. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Puasa yang terlebih utama (afdal) selepas Ramadhan ialah puasa di bulan Allah Muharam, dan solat yang terlebih utama selepas solat fardhu ialah solat di tengah malam.

Sesungguhnya disebutkan bahawa Nabi SAW sekali-kali tidak akan menghubungkan satu-satu perkara kepada AllahSWT melainkan perkara tersebut menunjukkan kemuliaan dan kelebihannya. Dikatakan juga dengan berhubungnya perkataan “Bulan Allah” itu menunjukkan bahawa pengharaman peperangan pada bulan ini adalah daripada Allah SWT dan tiada seseorang pun dikalangan makhluk dapat mengubah dan menukarnya.

Hasan al-Basri RA ada menyebutkan: “Allah SWT membuka setiap tahun itu dengan bulan haram (iaitu Muharam) dan menutupnya juga dengan bulan haram (iaitu Zulhijjah).” Hasan al-Basri RA dan lainnya juga mengatakan: “Muharam adalah semulia-mulia bulan dari bulan haram yang empat (iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab).”

PUASA DI BULAN MUHARAM

Puasa sunat di bulan Muharam adalah sangat dituntut dan mempunyai kelebihannya tersendiri berdasarkan hadis yang diriwayatkan di atas tadi. Oleh itu bolehlah kita berpuasa sunat di bulan Muharam ini samada kita berpuasa pada hari Isnin dan Khamis atau berpuasa pada Hari Putih (Ayyam al-Bidh, 13,14 dan 15 hari bukan pada setiap bulan) di bulan ini dan berpuasa secara bersama pada hari kesembilan dan kesepuluh (Hari Asyura) Muharam.

Tuesday, November 10, 2009

Kajian Penyelidikan : Ukhwah Islamiyah

Dan ingatlah nikmat Allah atas kamu, tatkala kamu bermusuh-musuhan, lalu ia jinakkan antara hati-hati kamu, lantas dengan nikmat Allah kamu jadi bersaudara. ( Al-Imran :103 )

Ukhwah atau persaudaraan merupakan nikmat dari kekuatan iman dan ketakwaan yang melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, rasa saling percaya mempercayai dan hormat-menghormati, sesama insan yang terikat dengan akidah Islamiah. Kesinambungan daripada perasaan ini melahirkan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi untuk saling tolong-menolong, berkasih sayang, saling memaafi, setia kawan, dan sikap mulia lainnya. Tidak akan ada ukhwah tanpa iman dan takwa dan begitu juga sebaliknya.


UKHWAH MENURUT AL-QURAN

Perkataan al-akh ( sebutan tunggal-mufrad ) disebut sebanyak 52 kali di dalam al-Quran dengna pelbagai maksud iaitu :

• Saudara kandung seperti pada ayat tentang kewarisan, atau keharaman mengahwini orang-orang tertentu.
"Diharamkan bagi kamu (mengahwini) ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, saudara-saudara perempuan kamu, saudara-saudara perempuan bapa kamu, saudara-saudara perempuan ibu kamu, (dan) anak-anak perempuan dari saudara-saudara kamu yang lelaki ".(Al-Nisa:23)

• Ikatan kekeluargaan seperti doa Nabi Musa a.s. di dalam Al-Quran
"Dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, (yaitu) Harun, saudaraku".(Thaha:29-30)

• Saudara sebangsa, walaupun tidak seagama
"Dan kepada suku 'Ada, (kami utus) saudara mereka Hud". (Al-A'raf:65)

• Saudara semasyarakat
"Sesungguhnya saudaraku ini mempunyai 99 ekor kambing betina, dan aku mempunyai seekor saja, maka berkata kepadaku, " Serahkan kambingmu itu kepadaku "; dan dia mengalahkan aku di dalam perdebatan ". (Shad:23)

• Saudara seagama
"Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara". (Al-Hujurat:10)

ASAS UKHWAH

Persaudaraan atau ukhwah berasaskan kepada faktor persamaan seperti persamaan keturunan, kekluargaan, bangsa, masyarakat dan sebagainya. Hari ini muncul pelbagai pertubuhan atau organisasi yang mengikat sekelompok manusia berasaskan kepada persamaan seperti persamaan keturunan, hobi, latar belakang professional, ideologi, agama, organisasi tempat bekerja dan sebagainya.

Persaudaraan tanpa iman dan takwa tidak akan dapat bertahan dengan baik. Ini disebabkan persaudaraan tanpa iman dan takwa akan dihancurkan oleh kepentingan peribadi atau kepentingan kelompok tertentu, pra-sangka isi hati, hasad dengki dan sebagainya.

Asas ukhwah dalam Islam ialah akidah Islamiyah. Hanya Allah Taala sahaja yang mampu untuk menyatukan jiwa-jiwa manusia. Dengan memahami dan menghayati akidah Islamiyah, umat Islam akan menjadi umat yang bersatu dan cemerlang. Seperti firman Allah Taala :

"Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah ( menjaga dan memberi perlindungan ) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongannya dan dengan ( sokongan ) orang-orang yang beriman Dan Dialah yang menyatupadukan di antara hati mereka ( yang beriman itu ). Kalaulah engkau belanjakan segala ( harta ) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara ( hati ) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (Al-Anfal:62)

Rasulullah S.A.W bersabda :
"Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri". (Riwayat : Bukhari & Muslim)

Firman Allah Taala :
"Dan tolong menolonglah kamu dalam ( mengerjakan ) kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan". (Al-Maidah:3)

Islam telah menerapkan beberapa prinsip sosial untuk menjamin ukhwah yang sejahtera seperti yang dianjurkan oleh Al-Quran. Antaranya ialah :

• Konsep Khalifah
Manusia diangkat oleh Allah Taala sebagai Khalifah di muka bumi ini. Mereka adalah pemimpin dan wakil Allah untuk memakmurkan alam. Manusia bukanlah penakluk yang berkuasa terhadap seluruh alam atau pimpinannya, tetapi sebagai khalifah untuk memimpin manusia pada jalan yang benar.

• Mengakui dan menghormati perbezaan
Umat Islam hendaklah cuba berusaha untuk mencari titik persamaan antara sesama manusia. Sesuatu yang perlu diakui ialah Allah telah menjadikan manusia ini pelbagai, malah dengan anugerah akal dan nafsu kepelbagaian ini adalha jelas. Sekiranya tiada titik persamaan, hendaklah saling hormat-menghormati sesama manusia, walaupun berbeza akidah. Firman Allah Taala : "Bagimu agamamu dan bagiku agamaku". (Al-Kafirun:6)

• Menghindari sifat mazmumah yang merosakkan persaudaraan
Prinsip ukhwah atau persaudaraan ialah mencari persamaan yang akan mengikat kasih sayang dan mendorong kepada kekuatan di kalangan segolongan manusia. Bagi tujuan ini hendaklah menghindari secara langsung segala sifat terutama yang bersifat batiniah seperti berpura-sangka, cemburu, iri hati, dan hasad dengki. Seperti Firman Allah Taala : "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kaum (pria) memperolokkan kaum yang lain, kerana boleh jadi mereka ( yang diolok-olokkan ) itu lebih baik daripada mereka ( yang memperolokkan ); dan jangan pula wanita-wanita ( mengolokkan ) wanita yang lain, kerana boleh jadi wanita-wanita yang diperolokkan lebih baik dan mereka ( yang memperolokkan ), dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran yang buruk. Sejelek panggilan adalah ( sebutan ) yang buruk sesudah iman. Barangsiapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Al-Hujurat:69)

KELEBIHAN UKHWAH

Allah taala mengurniakan beberapa kelebihan bagi mereka yang mengamalkan ukhwah Islamiah dengan ikhlas antaranya ialah :

• Wajah bersinar
"Sungguh di antara hamba-hamba Allah itu ada beberapa orang yang bukan Nabi dan Syuhada', tetapi para Nabi dan Syuhada' mengingini keadaan seperti mereka, kerana kedudukannya di sisi Allah. Sahabat bertanya: " Ya Rasulullah, beritahulah kami siapa mereka? " Rasulullah S.A.W menjawab : " Mereka adalah satu kaum yang cinta-mencintai kerana Allah tanpa ada hubungan dengan sanak kerabat di antara mereka serta tanpa hubungan harta benda yang ada pada mereka. Maka, demi Allah, wajah mereka sungguh bercahaya, sedang mereka tidak takut apa-apa di kala orang lain takut, dan mereka tidak berduka cita ketika orang lain berduka cita ". (Riwayat Abu Dawud)

• Dosa diampunkan
“Sesunguhnya seorang muslim apabila bertemu saudaranya muslim, lalu ia memegang tangannya (berjabat tangan) gugurlah dosa-dosa keduanya sebagaimana gugurnya daun dari pohon kering ketika ditiup angina kencang. Sungguh diampuni dosa merekka berdua, meski sebanyak buih di laut”. (Riwayat Thabrani)

• Berada di bawah naungan arasy
Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesunguhnya Allah SWT pada hari Kiamat berfirman: “Di manakah orang yang cinta-mencinntai kerana keagungan-Ku? Pada hari ini Aku akan menaungi mereka dengan naungan-Ku, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Ku”. (Riwayat Muslim)



• Berada di bawah naungan Mahabbah Ilahi
“Bahawa apabila seseorang mengunjungi saudaranya di desa yang lain, lalu Allah mengutus Malaikat untuk mengikutnya. Ketika Malaikat bertanya: “Kau hendak ke mana?” Ia menjawab: “Aku ingin mengunjungi saudaraku di desa ini”. Malaikat terus bertanya:”Apakah kamu akan memberikan sesuatu kepadanya?” Dia menjawab: “Tidak ada, melainkan hanya aku mencintainya kerana Allah SWT’. Malaikat berkata: “Sesunguhnya aku utusan Allah kepadamu, bahawa allah mencintai orang tersebut kerana-Nya”. (Riwayat Muslim)



• Mendapat syurga dan keredhaanNya
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa menjenguk orang sakit atai mengunjungi saudaranya kerana Allah, maka dia akan dipangil oleh Allah: “Berbahagialah langkahmu, dan engkau telah menyediakan tempat tinggalmu di syurga”. (Riwayat Tirmidzi)

• Merasai manisnya iman
Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara, sesiapa yang memilikinya ia dapat merasakan manisnya iman, iaitu cinta kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi cintanya kepada selain keduanya, cinta pada seseorang kerana Allah, dan membenci kekafiran sebagaimana ia tidak mahu dicampakkan ke dalam api”. (Riwayat Bukhari-Muslim)

UKUWAH ASAS KECEMERLANGAN

Pembentukan kerajaan Islam Madinah melalui perlembagaan Madinah merupakan bukti bahawa ukuwah merupakan asas kecemerlangan ummah. Bangsa Arab yang terdiri dari pelbagai kaum dan kafilah telah bersatu untuk memajukan madinah. Peristiwa hijrah Rasulullah bermula dengan rasa ukhwah yang jitu di kalangan penduduk Madinah yang tidak sanggup melihat saudara seislam mereka ditindas dan dizalimi di Mekah. Antara perkara terawal yang dilakukan oleh Rasulullah untuk mencapai kecemerlangan di Madinah ialah :

• Mempersaudarakan kaum Muhajiran dan Ansar
Ukhuwah Islamiah merupakan asas dalam menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka saling memerlukan dan tolong menolong. 



Bertepatan dengan hadis Rasulullah:
“Seorang Muslim bersaudara dengan Muslim lainnya. Dia tidak menganiaya, tidak pula menyerahkannya (kepada musuh). Barangsiapa yang memenuhi kebutuhan saudaranya, Allah akan memenuhi pula kebutuhannya. Barangsiapa yang melapangkan dan seorang Muslim suatu kesulitan, Allah akan melapangkan baginya satu kesulitan pula dan kesulitan-kesulitan yang dihadapinya di hari kemudian. Barangsiapa yang menutup aibnya di hari kemudia”. (Riwayat At-Tirmidzi dari Abu Hurairah)



Larangan di atas di lengkapi dengan hadis yang menyebut:
“Dia tidak mengkhianatinya, tidak membohonginya, dan tidak pula meninggalkannya tanpa pertolongan”.

• Membina Masjid
Masjid merupakan satu alat yang digunakan untuk menyatu padukan masyarakat. Masjid berfungsi sebagai pusat sosial masyarakat. Mereka berkumpul, bertukar-tukar pendapat dan menjalankan pelbagai aktiviti di masjid.

• Perlembagaan Madinah
Perlembagaan madinah merupakan satu perlembagaan negara yang pertama di dunia. Melalui perlembagaan ini Rasulullah bukan sahaja telah menyatukan masyarakat Islam pelbagai kaum, malah juga pelbagai agama dan kepercayaan. Setiap kaum ini diberi hak dan tanggungjawab kea rah kesejahteraan dan kemakmuran Madinah. Melalui kebijaksanaan Rasulullah iini beliau telah membawa negara madinah kepada kecemerlangan melalui jiwa dan semangat ukhwa.

CABARAN UKHUWAH

Cabaran utama kea rah penyatuan jiwa ukhwah Islamiah yang paling besar ialah perbezaan Mazhab dan pendapat dan ideologi. Perbezaan pendapat yang membawa kepada perpecahan telah wujud dalam sejarah peradaban Islam bermula dari kewafatan Rasulullah. Masyarakat islam telah berbeza pendapat tentang siapa yang layak sebagai pengganti Rasulullah untuk menjadi ketua umat Islam. Kemuncak kepada perbezaan pendapat ini telah menyebabkan perpecahan aliran pemikiran dalam Islam. Golongan-golongan ini salingmenidakan sumbangan pihak yang lain dan melahirkan pelbagai slogan dan fatwa yang bercanggah. Perbezaan yang paling ketara ialah antara golongan syiah dan sunni. Malah dalam kelompo sunni sendiri telah berpecah kepada empat mazhab yang besar. Umat Islam sewajarnya melihat perpecahan sebagai satu rahmat kepada seluruh umat Islam. Perpecahan ini sewajarnya menjadi sesuatu yang saling mengukuhkan dan mengisi kekosongan antara satu sama lain.

Kepentingan diri merupakan tembok yang paling besar kepada penyatuan ummah. Seringkali manusia kalah apabila berlaku konflik antara kepentingan diri dan kepentingan umum. Prinsip Islam jelas, bahawa apabila berlaku konflik ini, kepentingan umum adalah mengatasi. Di sini, kekuatan iman yang melahirkan ukhuwah Islam yang sebenar akan diuji. Hanya Iman dan takwa mampu mengenepikan kepentingan diri demi untuk saudara seislam dan agama Islam umumnya.

Friday, September 25, 2009

Kisah Bumi dan Langit

Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit, "Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-tanaman, beberapa gunung dan lain-lain."

Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, 'arasy, kursi dan syurga ada padaku."

Berkata bumi, "Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik)."


Bumi berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya juga di tempatku."


Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, "Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga."

Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, "Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini."

Jibrail A.S. bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?" Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu."

Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?" Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."

Berkata Jibrail A.S., "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu."

Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Wallahu'alam. Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.

Wednesday, September 23, 2009

Rela Dimasukkan Ke Neraka

Nabi Musa AS suatu hari sedang berjalan-jalan melihat keadaan umatnya. Nabi Musa AS melihat seseorang sedang beribadah. Umur orang itu lebih dari 500 tahun. Orang itu adalah seorang yang ahli ibadah. Nabi Musa AS kemudian menyapa dan mendekatinya. Setelah berbicara sejenak ahli ibadah itu bertanya kepada Nabi Musa AS, Wahai Musa AS aku telah beribadah kepada Allah SWT selama 350 tahun tanpa melakukan perbuatan dosa. Di manakah Allah SWT akan meletakkanku di Syurga-Nya?. Tolong sampaikan pertanyaanku ini kepada Allah. Nabi Musa AS mengabulkan permintaan orang itu.

Nabi Musa AS kemudian bermunajat memohon kepada Allah SWT agar Allah SWT memberitahukan kepadanya di mana umatnya ini akan ditempatkan di akhirat kelak. Allah SWT berfirman, "Wahai Musa (AS) sampaikanlah kepadanya bahawa Aku akan meletakkannya di dasar Neraka-Ku yang paling dalam". Nabi Musa AS kemudian mengkhabarkan kepada orang tersebut apa yang telah difirmankan Allah SWT kepadanya. Ahli ibadah itu terkejut.

Dengan perasaan sedih ia beranjak dari hadapan Nabi Musa AS. Malamnya ahli ibadah itu terus berfikir mengenai keadaan dirinya. Ia juga mulai terfikir bagaimana dengan keadaan saudara-saudaranya, temannya, dan orang lain yang mereka baru beribadah selama 200 tahun, 300 tahun, dan mereka yang belum beribadah sebanyak dirinya, di mana lagi tempat mereka kelak di akhirat. Keesokan harinya ia menjumpai Nabi Musa AS kembali.

Ia kemudian berkata kepada Nabi Musa AS, "Wahai Musa AS, aku rela Allah SWT memasukkan aku ke dalam Neraka-Nya, akan tetapi aku meminta satu permohonan. Aku mohon agar setelah tubuhku ini dimasukkan ke dalam Neraka maka jadikanlah tubuhku ini sebesar-besarnya sehingga seluruh pintu Neraka tertutup oleh tubuhku jadi tidak akan ada seorang pun akan masuk ke dalamnya". Nabi Musa AS menyampaikan permohonan orang itu kepada Allah SWT.

Setelah mendengar apa yang disampaikan oleh Nabi Musa AS maka Allah SWT berfirman, "Wahai Musa (AS) sampaikanlah kepada umatmu itu bahawa sekarang Aku akan menempatkannya di Syurgaku yang paling tinggi".

Thursday, August 13, 2009

Mereka Memilih Islam (1)

Dr. Gary Miller (Tokoh Ilmu Teolog Kristian Dari Kanada, Pakar Matematik)


Dr. Gary Miller (Abdul Ahad Omar)berasal daripada Kanada. Beliau merupakan seorang pakar matematik yang mendalami ilmu teologi (ketuhanan) Kristian. Pada tahun 1978 beliau dihadiahkan al-Quran dan selepas membacanya beliau mula menyedari tentang kepincangan Bible dan kebenaran al-Quran. Beliau terus memeluk agama Islam dan merupakan seorang pendakwah Muslim yang komited hinggalah ke hari ini. Antara tulisan beliau yg menarik ialah yang bertajuk "The Amazing Quran" (Quran Yang Mengagumkan). Dalam tulisan ini beliau membuktikan bahawa al-Quran adalah wahyu dan tidak mungkin ditulis oleh manusia dengan menggunakan pendekatan saintifik.



Antara tulisannya ialah, "Seperkara yang mengejutkan golongan yang bukan Islam selepas mereka mengkaji al-Quran ialah, ia tidak seperti apa yang mereka jangkakan. Bagi mereka, al-Quran ialah sebuah kitab tua yang datang dari padang pasir Arab dan berumur lebih kurang 14 abad. Justeru mereka menjangkakan, isi-isinya pasti juga tua lagi kuno seperti umurnya. Sebahagian daripada mereka pula menjangkakan, oleh kerana ia datang dari padang pasir, ia pasti banyak bercerita tentang padang pasir. Tiba-tiba mereka menyedari bahawa ia tidak seperti itu....


Al-Quran boleh dikaji secara saintifik kerana ia mengutarakan sesuatu yang tidak diutarakan oleh kitab-kitab agama lain secara amnya. Malah al-Quran mampu menyahut cabaran ahli-ahli sains. Konsep sains pada hari ini ialah satu konsep yang memerlukan bukti. Jika seseorang mengutarakan sesuatu teori, pakar-pakar sains tidak akan mempedulikannya melainkan jika ia disertakan dengan bukti dan sanggup melalui beberapa ujian yang saintifik. Al-Quran sebenarnya sanggup diperlakukan seperti itu untuk membuktikan bahawa ia adalah benar. Seribu empat ratus tahun sudah berlalu dan tidak ada sesiapa pun yang mampu membuktikan kepalsuan al-Quran, justeru al-Quran adalah sebuah kitab yang hak lagi benar".


(Rujukan: http://www.islamicity.com/science/theamazingquran.shtml)

Wednesday, July 8, 2009

Rasulullah SAW Duduk Memaut Lutut

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Qailah binti Makhramah RA, katanya “Aku telah melihat Rasulullah SAW duduk di dalam masjid dengan memaut lutut. Bilamana aku melihat Baginda duduk dalam keadaan yang amat tenang sekali, aku merasakan gementar lantaran kehebatan Baginda.”

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri bahawa beliau menceritakan: “Rasulullah SAW apabila duduk, Baginda akan duduk dalam keadaan lututnya ditinggikan dan dipaut oleh kedua tangannya.”

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Tuesday, July 7, 2009

Gaya Rasulullah SAW Berbaring Di Siang Hari

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibad bin Tamim daripada bapa saudaranya, bahawa beliau menceritakan: “Aku melihat Rasulullah SAW berbaring terletang di dalam masjid dalam keadaan sebelah kakinya di atas kakinya yang satu lagi.”

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Tuesday, June 16, 2009

Rambut Rasulullah SAW & Bagaimana Baginda Menyikatnya

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: “Rambut Baginda SAW tidak terlalu kerinting dan tidak juga lurus, tetapi kelurusan rambut Baginda beserta ketak seumpama gelombang dan mencecah cuping telinga.”

Al-Imam al-Hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW menyikat rambutnya ke belakang (tanpa membelahnya ataupun menyikatnya ke arah kiri dan kanan) kerana orang-orang musyrik menyikat rambut mereka ke kiri dan ke kanan, sedangkan Ahli Kitab menyikat rambut mereka ke belakang tanpa membelahnya. Kebiasaan Baginda pada masa itu bilamana tiada sebarang perintah khusus diwahyukan Baginda gemar menuruti cara Ahli Kitab. Dan pada akhir kehidupannya, Baginda menyikat rambut dengan membelah dua dan disikatkan ke arah kiri dan kanan.”

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Monday, June 15, 2009

Kaedah Memakai & Menanggalkan Selipar & Kasut

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang mahu memakai kasut, mulalah dengan kaki kanan dan apabila mahu menanggalkannya, lakukanlah dahulu dengan kaki kiri. Jadi, apabila memakai maka dahulukan kaki kanan dan apabila menanggalkannya maka dahulunya kaki kiri.

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Selipar Rasulullah SAW

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Qatadah RA berkatanya: “Aku bertanya kepada Anas bin Malik RA: Bagaimana bentuk selipar Rasulullah SAW itu? Katanya: Ianya mempunyai dua tali.”

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Saturday, June 13, 2009

5 Peringatan Rasulullah

Umat Islam perlu sentiasa mengingati pesanan Nabi Muhammad SAW agar berwaspada dengan tipu daya nikmat dunia. Atas sebab itu, lima pesanan Rasulullah perlu diingati demi menjaga diri, keluarga dan masyarakat agar tidak tergelincir daripada landasan Islam yang diredhai Allah SWT.

Rasulullah pernah berpesan kepada umatnya berhubung perkara berikut:

1. Kerap menyebut Allah daripada menyebut makhluk.

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita hingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita.

Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut nama Allah.

Makhluk yang berbuat baik kita puji melangit, tetapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan langsung tidak ingat. Sebaik-baiknya lidah kita memuji Allah saban waktu, bukan ucapan Alhamdulillah hanya selepas kekenyangan. Pujian begini hanya di lidah tidak menyerap ke lubuk hati. Kita hendaklah sentiasa membasahi lida dengan zikrullah. Ini kerana dengan zikrullah manusia sentiasa ingat nikmat yang Allah limpahkan.

Kata Imam Ibnu Qayyim, “Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang daripada siraman zikir, jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.”

2. Kerap menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia

Dunia terlalu sedikit berbandingkan akhirat. Seribu tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang pendek fikiran sibuk memikirkan wawasan dunia hingga terlupa wawasan akhirat.

Oleh itu, perbanyakkan menyebut perkara akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabut saham akhirat. Dengan menyebut dan ingat kehidupan akhirat akan menyemarakkan semangat untuk berbuat amal ibadat dan amal kebajikan yang bakal dijadikan bekalan. Dengan itu akan menyebabkan seseorang berakhlak mulia menurut tuntutan agama sekali gus bersikap optimis terhadap nikmat dunia untuk mengejar nikmat akhirat.

Kata Imam al-Qurtubi, “Tuntutlah kurniaan Allah di dunia dan akhirat. Tuntutlah kurniaan Allah daripada dunia untuk akhirat, iaitu syurga.”

3. Kerap menyebut dan mengingati hal kematian daripada hal kehidupan

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara, tetapi jarang memikirkan bekalan hidup selepas mati. Memikrikan mati adalah sunat kerana ia menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang sangat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan ketika hidup di dunia. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tidak mengusahakan kebun dunia masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat.

Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Ali dicontohi. Meskipun sudah dijamin syurga, Saidina Ali masih mengeluh mengenai kekurangan amalan bakal dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan kita yang kerdil dan bergelumang dosa?

4. Jangan selalu menyebut kebaikan diri dan keluarga

Syaitan sentiasa hendak memerangkap kita dengan menyuruh atau membisikan supaya sentiasa mengingati atau menyebut kebaikan yang kita lakukan, sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut selalu macam ayam ‘bertelur sebiji riuh sekampung’.

Kita terlupa dengan menyebut dan mengingati kebaikan sendiri ia menimbulkan penyakit hati iaitu ujud. Penyakit ujud ibarat api dalam sekam yang boleh merosakkan pahala kebajikan. Lebih dahsyat, jika menimbulkan riak atau bangga diri, Allah memberi amaran tidak akan mencium syurga. Riak adalah satu unser dalam syirik (khafi).

Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingati kebaikan diri kepada orang lain. Kita perlu sedar perbuatan baik yang ada pada diri kita sebenarnya daripada Allah. Allah yang menyuruh kita berbuat baik. Jadi kita patut bersyukur kerana Allah menjadikan kita orang baik, bukan mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa Allah yang mengurniakan kebaikan.

Berkenaan riak, Rasulullah berpesan, “Yang amat kutakuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil iaitu riak.” Riak adalah amal yang dikerjakan untuk dipamerkan kepada orang dan meninggalkan amal kerana orang.

5. Jangan selalu sebut keaiban atau keburukan orang lain

Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita gemar melihat keaiban orang sehingga terlupa keaiban dan kekurang diri sendiri. Bak kata pepatah, “kuman sebrang laut napak, tetapi gajah depan mata tak nampak”.

Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dapat memperbaiki kekurangannya. Menuding jari mengatakan orang lain tidak betul sebenarnya member isyarat diri kita tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang, satu jari ke orang itu, tetapi empat jari lagi menuding diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, tetapi diri kita lebih buruk daripadanya.

Sebab itu, biasakan melihat keburukan diri sendiri bukan keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain sendiri koyak-rabak. Dalam Islam digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubunga sesama manuasia iaitu lihatlah satu kebaikan pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat kita pula, lihat kejahatan yang ada walaupun kita pernah berbuat kebaikan.

Hanya dengan cara ini kita terselamat daripada bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka. Islam menganjurkan umatnya bersangka baik dan berbuat baik sepanjang masa. Sabda Rasulullah, “Cukuplah bagi seseorang keburukan jika ia menghina saudaranya sesama Muslim.”

Kesimpulan

Demikianlah lima pesanan Rasulullah supaya umat Islam sentiasa dalam ruang lingkup kehidupan yang diberkati Allah dengan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Marilah pada setiap masa mengingati pesan Nabi kita dan jadikan ia suluh pedoman dalam nelayari kehidupan di dunia yang fana ini.

Sesungguhnya, peringatan Rasulullah sentiasa sesuai sepangjang masa untuk umat manusia. Hanya kita yang lalai kepada pesanan berharga itu.

Kita hanya menyesal apabila kita ditimpa kesusahan atau sakit. Ketika itulah baru hendak mengenali Allah dan ingat Rasulullah. Sebagai mukmin, marilah berpegang kukuh dan beringat teguh pada apa yang dipesan Nabi Muhammad SAW.

Oleh: Wan Muhd Ruzlan Wan Omar, penulis ruangan Minda (m/s 14) Harian Metro Jumaat 12 Jun 2009

Friday, June 12, 2009

Serban Rasulullah SAW

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibn Umar Ra bahawa beliaau menceritakan: “Rasulullah SAW apabila berserban, Baginda akan melepaskan hujung serbannya di antara dua bahu Baginda.” Nafi mengatakan bahawa In Umar RA turut melaksanakan yang demikian. Abu Ubaidullah berkata bahawa al-Qasim bin Muhammad dan Salim turut melaksanakan perkara yang sama.

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Jabir RA bahawa beliau menceritakan: “Rasulullah SAW memasukki Makkah ketika Hari Pembukaan Kota Makkah dan Baginda berserban hitam.”

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Cincin Rasulullah SAW

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Umar RA, beliau berkata “Sesungguhnya Nabi SAW telah membuat cincin dari perak. Baginda meletakkan bahagian matanya berada pada bahagian telapak tangannya. Baginda mengukir kalimat “Muhammad Rasulullah’. Baginda melarang orang lain mengukir tulisan itu di atas cincin. Cincin itu telah jatuh di telaga ‘Aress.”

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW emakai cincin disebelah kanan tangannya.”

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata “Cincin Rasulullah SAW adalah diperbuat daripada perak dan batunya juga daripada perak.”

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Thursday, June 11, 2009

Bersabar Dalam Berdoa

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi SAW telah bersabda:”Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturrahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan.”

Lalu baginda ditanya oleh seseorang:”Apa maksudnya meminta dicepatkan?”

Jawab baginda:”Umpamanya seseorang itu berkata dalam doanya:”Aku telah berdoa, aku telah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan.

Lalu aku putus asa dan berhenti berdoa.” (Muslim)

Huraian:
Betulkah setiap doa akan dikabulkan oleh Allah?

Mungkin ada antara kita yang telah berdoa sesuatu namun tidak merasakan keberhasilannya.

Selaku hamba, kita harus menyedari bahawa kita tidak berhak memaksa Allah kerana kitalah yang berhajatkan sesuatu bukan sebaliknya.

Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita atau mungkin Allah mempunyai ketentuan lain yang tidak kita ketahui.

Mungkin juga doa kita bukan tidak dikabulkan tetapi ditunda waktunya atau diganti dengan yang lebih baik.

Nabi Zakaria a.s adalah contoh manusia yang sangat kuat nilai kesabarannya.

Baginda telah puluhan tahun berdoa agar dikurniakan zuriat namun belum dikabulkan Allah. Antara isi doa baginda ialah:

“Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku. (Maryam:4) sehingga pada akhirnya Allah SWT memakbulkan permintaan baginda dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya.

Begitulah sikap yang seharusnya kita contohi iaitu jangan sekali-kali kecewa dalam berdoa.

Wednesday, June 10, 2009

Gaya Rasulullah SAW Duduk Bersandar

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Jabir bin Abu Samarah RA bahawa beliau menceritakan: “Aku melihat Rasulullah SAW duduk sambil bersandar ke atas bantal yang terletak disebelah kirinya.”

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Tuesday, June 9, 2009

Larangan Makan Sambil Bersandar

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Juhlah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Daku tidak makan sambil bersandar kepada sesuatu.”

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Monday, June 8, 2009

Cara Rasulullah SAW Makan

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Kaeb bin Malik RA bahawa beliau menceritakan: “Rasulullah SAW apabila selesai makan, Baginda akan menjilat jarinya yang tiga (Baginda menggunakan tiga jari).” Katanya lagi: “Rasulullah SAW apabila selesai makan, Baginda akan menjilat jarinya sebanyak tiga kali.”

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Sunday, June 7, 2009

Doa Menghilangkan Kesedihan, Tekanan Hutang & Malas

Suatu ketika seorang sahabat sedang bersedih. Lantas Rasulullah SAW bertemu dan bertanya kepadanya: "Wahai sahabat, mengapa kamu bersedih?"

Lantas sahabat tadi menjawab: "Ya Rasulullah, aku bersedih kerana beban kehidupan yang terlalu berat di atas pundakku."

"Apa dia?" kata Rasulullah.


"Hutang yang membelenggu diriku, dan kesedihan yang mengikat sanubariku."

Lantas Baginda SAW bertanya: "Apakah kau ingin aku ajarkan satu doa, satu amalan, yang jika kau amalkan nescaya segala kesedihan, segala kedukaanmu, akan diangkat oleh Allah SWT, akan dipulihkan, akan diganti dengan kegembiraan dan kebahagiaan?"

"Balaa ya Rasulullah. Sebutlah, apakah doa, apakah amalan itu ya Rasulullah."

Lantas Baginda mengajarkan sepotong doa. "Wahai sahabatku, jika kamu amalkan doa ini setiap pagi dan setiap petang, insya Allah sebanyak manapun hutangmu, akan dilunaskan Allah SWT; setebal manapun kedukaanmu, akan dilenyapkan oleh Allah SWT."

“Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.”

Saturday, June 6, 2009

Fitnah oh fitnah

Pernah diriwayatkan dalam kitab-kitab sirah nabawiyyah yang masyhur bahawa Sayyidatina 'Aisyah Radhiyallahu'anha telah ikut serta bersama-sama Rasulullah S.A.W dalam peperangan menentang Yahudi Bani Al-Mustaliq.

Peristiwa Bani Mustaliq ini juga merupakan satu peristiwa yang pahit kepada umat Islam yang menyentuh rumahtangga Rasulullah S.A.W dan ia juga menyentuh tentang isteri baginda yang mana 'Aisyah Radhiyallahu 'Anha mendapat undian untuk mengiringi Rasulullah S.A.W dalam peperangan Bani Mustaliq kerana menjadi adat kepada Rasulullah apabila membawa isterinya musafir akan dilakukan pengundian dikalangan mereka.

Dalam perjalanan pulang berlaku perkara yang menjadi sebab kepada berlakunya fitnah yang disebarkan oleh kalangan orang-orang munafiq. Apabila Rasulullah berhenti pada suatu tempat, dan Sayyidatina 'Aisyah terus turun dari suqduf unta untuk qadha hajat, tiba-tiba kalung yang dipinjamkan dari saudara perempuannya tercicir, 'Aisyah pun kembali semula ke tempat beliau qadha hajat untuk mencari kalung yang telah tercicir. Kebetulan pada waktu itu pasukan tentera Islam telah sedia untuk berangkat, maka mereka yang ditugaskan untuk mengangkat suqduf ke atas unta tiada menyedari bahawa Sayyidatina 'Aisyah tidak ada di dalamnya, lalu pasukan tentera Islam pun berangkat meninggalkan Ummul Mu'minin Radhiyallahu 'Anha.

Apabila Sayyidatina 'Aisyah ke tempat untanya beliau telah mendapati bahawa orang ramai sudah tiada di situ, maka tiada jalan baginya pada waktu malam melainkan menunggu di tempat itu juga mudah-mudahan ada orang yang akan datang sehingga beliau tertidur.

Tiba-tiba salah seorang anggota pasukan tentera Islam yang bernama Safwan Bin Al-Mu'tal Radhiyallahu 'Anhu yang tabiatnya gemar tidur sehingga ditinggalkan oleh orang lain, apabila dia bangun dan bersedia untuk bertolak tiba-tiba telah terlihat seorang perempuan. Demikian alangkah terkejutnnya Safwan Bin Al-Mu'tal apabila beliau mendapati bahawa perempuan itu adalah Ummul Mu'minin Sayyidatina 'Aisyah radhiyallahu 'Anha.

Safwan Bin Al-Mu'tal terus menurunkan untanya supaya dapat ditunggangi oleh sayyidatina 'Aisyah dan mengheret unta itu pulang ke Madinah Al-Munawwarah, dan mereka bertemu semula dengan dengan pasukan tentera Islam di Nahru Zahirah, maka terkejutlah orang ramai melihat kedatangan mereka. Setelah mengetahui perkara yang sebenar, mereka pun bercakap dengan cara yang layak baginya.

Tetapi Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah mentaqdirkan suatu ujian yang pahit, apabila pemimpin munafiq atau bapak segala munafiq, 'Abdullah Bin Ubai Bin Salul mengetahui perkara ini dan sedar bahawa inilah peluang terbaik baginya untuk melepaskan dendam dan bencinya terhadap Rasulullah S.A.W. Maka bapak munafiq ini telah mengambil kesempatan daripada peristiwa itu untuk mencipta serta menaburkan fitnah yang amat dahsyat sehingga terdapat beberapa orang Islam terpengaruh dengan fitnah tersebut.

Pada peringakat awalnya, sayyidatina 'Aisyah tidak mengetahui fitnah yang disebarkan ke atasnya itu sehinggalah Ummu Mistah memberitahu akan hal ini kepadanya. Para Sahabat Radhiyallahu 'Anhum berbelah bagi untuk menerima berita ini.

Adapun mengikut riwayat bahawa Sayyidina 'Ali telah mencadangkan kepada Rasulullah S.A.W menceraikannya sahaja secara menyindir dan tidak menabur fitnah. Adapun Usamah Bin Zaid Radhiyallahu 'Anhuma dan sahabat yang lainnya meminta supaya 'Aisyah dipelihara terus sebagai seorang isteri. Adapun Usaid Bin Hudir pemimpin Aus berkelahi dengan Sa'ad Bin 'Ubadah apabila Usaid mahu membunuh 'Abdullah Bin Ubai Bin Salul bapak munafiq yang menabur dan menyebarkan fitnah ini, sedangkan Sa'ad dari qabilah yang sama dengan 'Abdullah Bin Ubai membelanya.

Adapun Rasulullah S.A.W mendiamkan diri. Sayyidatina 'Aisyah pula merasakan bahawa sikap Rasulullah telah berubah hati terhadapnya, lalu Sayyidatina 'Aisyah telah meminta izin untuk ulang ke rumah orang tuanya iaitu Abu Bakar As-siddiq Radhiyallahu 'Anhu.

Adapun tiba-tiba Rasulullah telah pergi menemui Sayyidatina 'Aisyah Radhiallahu 'Anha di rumah Sayyidina Abu Bakar, setelah bertasyahhud maka Rasulullh S.A.W pun bersbda ;


"Wahai 'Aisyah...!!! sesungguhnya telah sampai kepadaku berita tentangmu. Jika sekiranya kamu seorang yang bersih dari fitnah itu maka Allah akan membersihkanmu, jika sekiranya kamu mengerjakan dosa maka mohonlah ampun dan bertaubatlah kepada Allah, kerana seseorang hamba itu apabila mengaku dosanya kemudian dia bertaubat kepada Allah nescaya Allah maha menerima taubatnya."


Sayyidatina 'Aisyah terus menangis sehingga kedua-dua orang tuanya memaksa sayyidatina 'Aisyah menjawab, lalu beliau menjawab ;


" Demi Allah...!!! Aku telah mendengar berita itu dan kamu juga mendengarnya, supaya puas hati kamu maka aku suka menegaskan bahawa sesungguhnya aku masih bersih daripada fitnah itu dan Allah Maha Mengetahui bahawa aku masih bersih tetapi kamu tidak mahu mempercayainya. Jika sekiranya aku mengaku seperti itu, Allah Maha Mengetahui aku ini tida bersalah nescaya kamu mempercayainya. Demi Allah...!!! Aku tidak ada apa yang hendak dikatakan melainkan seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Yusof 'Alaihissalam : Sabar itulah yang paling baik dan Allah sahaja tempat meminta pertolongan di atas apa yang kamu sifatkan terhadapku ( Yusuf: ayat-18) "

Akhirnya Allah Subhanahu Wa Ta'ala menurunkan wahyunya bagi membela dan membersihkan 'Aisyah Radhiyallahu 'Anha daripada sebaran fitnah dan tuduhan oleh orang-orang munafiq dalam firman-Nya yang bermaksud ;

11) Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ( fitnah kepada 'Aisyah ) ialah segolongan dari kalangan kamu ; janganlah kamu menyangka ( berita yang dusta dan palsu ) buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu, tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar ( di dunia dan di akhirat ).

12) Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-rang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka terhadap diri mereka sendiri dan berkata ' ini adalah tuduhan yang dusta yang nyata.

13) Sepatutnya mereka ( yang menuduh ) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu, oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi, maka mereka disisi hukum Allah, adalah orang-orang yang berdusta.

14) Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu.

15) Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya, dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.

16) Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata ; tidak layak bagi kami memperkatakan hal ini...!!! Maha Suci Engkau ( Ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli bait Rasulullah ) ini adalah satu dusta besar yan amat mengejutkan.

17) Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.

18) Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan ( hukum-hukum-Nya ); kerana Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana.

( Surah An-Nur ayat 11-18 )

Apabila ayat-ayat ini dibacakan kepada Sayyidatina 'Aisyah maka kedua-dua orang tuanya menyuruh 'Aisyah bangun untuk menghormati Rasulullah S.A.W. Tetapi 'Aisyah menjawab ; "Demi Allah...!!! aku tidak bangun padanya, dan aku tidak mahu memuji selain Allah sahaja "

Demikian setelah berlakunya fitnah ini maka dijatuhkan hukuman sebat sebanyak lapan puluh kali kepada beberapa orang yang menyebarkan fitnah dikalangan lelaki dan perempuan, tetapi 'Abdullah Bin Ubai dibiarkan keran telah cukup kepadanya janji daripada Allah untuk menyeksanya di hari pembalasan dan kerana ingin mengelakkan fitnah yang lebih besar.(albanjary)

Friday, June 5, 2009

Banyakkan Bersabar

Hadith:
Daripada Anas r.a. katanya, “ Aku berjalan bersama-sama Rasulullah saw.

Baginda memakai selendang kasar tepinya buatan Najran.

Baginda bertemu dengan seorang Arab badwi lalu direntapnya selendang baginda dengan rentapan yang kasar sehingga aku melihat kesan di tengkuk baginda akibat rentapan yang kasar itu.

Kemudian orang arab itu berkata:

“Wahai Muhammad perintahkanlah supaya diberikan kepadaku daripada harta Allah apa yang ada pada kamu,”

Maka Rasulullah saw berpaling kepadanya sambil ketawa. Kemudian baginda memerintahkan supaya diberikan sedekah kepadanya.

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian:
1. Rasulullah saw adalah seorang yang pemaaf dan tidak suka membalas dendam serta tidak mudah marah.

2. Umat Islam hendaklah mencontohi sifat-sifat mulia tersebut kerana sifat-sifat ini mempunyai nilai-nilai kebaikan yang amat tinggi yang akan menimbulkan kesedaran kepada orang lain yang menerimanya.

3. Islam menggalakkan umatnya supaya bertindak dengan cara yang bijaksana apabila berhadapan dengan golongan yang jahil dan hendaklah menunjukkan sikap yang lemah lembut agar dapat menarik hati mereka kepada Islam.

Thursday, June 4, 2009

Juadah Kegemaran Rasulullah SAW

a. Manisan dan Madu
Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Aishah RA bahawa beliau menceritakan: “Nabi SAW sangat menyukai manisan dan madu.”

b. Minyak Zaitun
Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Makanlah minyak zaitun dan berminyaklah (rambut) dengannya. Sesungguhnya ianya berasal daripada pohon yang diberkati.”

c. Cuka
Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Aishah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Cuka adalah sebaik-baik hidangan (lauk).”

Disebutkan di dalam hadis lain bahawa rumah yang mempunyai cuka di dalamnya sudah mencukupi daripada makanan atau lauk lain. Dikatakan juga, Rasulullah SAW pernah memohon keberkatan bagi cuka. Dikatakan lagi, bahawa cuka merupakan lauk bagi nabi-nabi terdahulu. Wallahualam.

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah

Wednesday, June 3, 2009

Rasulullah SAW Tidak Pernah Makan Kenyang

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Masruq RA, katanya: “Aku telah menemui Aishah RA, lalu beliau menghidangkan sesuatu kepadaku dan berkata: Aku tidak pernah makan kenyang, bilamana aku terasa hendak makan, mulalah aku menangis. Masruq bertanya: Mengapa? Jawabnya: Aku teringat perihal Rasulullah SAW yang telah meninggalkan dunia ini, demi Allah! Rasulullah SAW tidak pernah kenyang dengan daging atau roti dua kali dalam sehari.”

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa beliau menceritakan: “Rasulullah SAW sering bermalam berhari-hari sedangkan Baginda dan keluarganya tidak mempunyai sebarang makanan yang dapat dijamah di malam dan roti yang sering dimakan Rasulullah SAW adalah yang diperbuat daripada gandum.”

Al-Imam al-hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa al-Tirmizi meriwayatkan daripada Aishah RA bahawa beliau menceritakan: “Keluarga Muhammad SAW tidak pernah kenyang dua hari berturut-turut dengan roti yang diperbuat daripada gandum. Keadaan tersebut berterusan sehinggalah Rasulullah SAW wafat.”

Sumber: Muhammad bin Isa al-Tarmizi, al-Shama’il al-Muhammadiyyah