Di sana ada sebuah hadis yang sudah pasti akan memeranjatkan sesiapa yang membacanya untuk kali pertama, dan hadisnya pula ialah hadis sahih atau hasan (yang diterima) pada sesetengah ulama, iaitu sabda Baginda S.A.W, ertinya:
"Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan Solat Fardhu berjamaah, maka ianya seperti pahala Haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan Solat Sunat (iaitu Dhuha), maka ianya seperti pahala Umrah Sunat." (1)
(1) Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud, Tabrani, Baihaqi dan dihukumkan sanadnya sebagai hasan oleh Syeikh Arnaut di dalam Jami' Al Usul 9/416, dan dihukumkan sahih pada riwayat yang lain.
Mungkin apabila membaca hadis ini, kita akan merasa ragu tentang kebenaran hadisnya, kerana takkanlah dengan hanya berjalan untuk pergi mendirikan Solat Fardhu berjamaah akan mendapat pahala satu Haji!
Perlu diingatkan bahawa hadis ini telah dihukumkan sahih atau hasan oleh ramai ulama, ini menunjukkan bahawa hadis ini membawa erti yang besar iaitu perkara-perkara yang diwajibkan oleh Allah Ta'ala sudah tentu mempunyai ganjaran yang amat besar sekali berbanding dengan perkara yang disunatkan.
Bahkan ada amalan-amalan sunat yang tidak sah dilakukan jika amalan yang wajib belum dilaksanakan lagi atau diqadha'kan. Begitu jugalah seperti Solah Fardhu yang disertakan pula dengan berjamaah di masjid (1) sudah tentu mempunyai ganjaran yang terlalu besar.
(1) Hadis tidak mnyebutkan bahawa berjemaah itu semestinya di masjid. ini bermakna juka seseorang itu ada keuzuran sehingga tidak dapat hadir ke masjid dan terpaksa bersolat bersama keluarga di rumah, insya-Allah, dia juga akan mendapat pahala seperti satu Haji Juga! Hadis ini jelas memberikan galakan supaya sentiasa mendirikan solat berjemaah walau apa jua keadaan, walaupun sewaktu berklah atau melancung ke luar negeri dan susah untuk menemukan masjid, atau measjidnya agak terlalu juah.
Satu misalan yang jelas bagaimana satu amalan yang wajib yang ditinggalkan dengan tanpa uzur, tidak dapat diganti dengan "pahala" amalan sunat atau diqadha'kan sekalipun, sebagaimana sabda Rasulullah SAW kepada orang yang tidak berpuasa satu hari di bulan Ramadhan tanpa uzur, iaitu kelebihan yang dia telah ditinggalkan tidak sama dengan amalan puasa sunat seumur hidupnya!
Ramai kalau kita perhatikan di kalangan masyarakat Islam yang mengambil berat tentang amalan-amalan sunat, sehingga amalan yang wajib tidak begitu di ambil berat, sedangkan Allah S.W.T di dalam Hadis Qudsi ada menyatakan, ertinya:
"Dan tidaklah hambaku beramal untuk mendekatkan dirinya kepada Ku dengan sesuatu yang lebih Aku sukai, seperti bila dia melakukan fardhu yang Aku perintahkan ke atasnya." (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari)
Maksud hadis ini untuk mudah difahami ialah, tidak ada yang lebih disukai oleh Allah Ta'ala daripada hambanya, melainkan ia melaksanakan apa yang diwajibkan oleh Allah Ta'ala.
Sebab itulah perkara yang diwajibkan oleh Allah Ta'ala sepatutnya yang perlu diutamakan dahulu, sebelum melaksankan apa-apa amalan yang sunat, kerana amalan yang wajib itu adalah terutama.
Sumber: Buku Bagaimana Mendapat Pahala Hidup 7000 Tahun oleh Hj Ahmad Haris Suhaimi