Dikisahkan dari Mubarak, ayahanda Abdulllah Ibnu al-Mubarak yang merupakan seorang ulama dan Muhaddith yang terkenal di zamannya, bahawanya dia pernah bekerja di sebuah kebun milik seorang majikan. Agak lama juga beliau bekerja dan tinggal di kebun tersebut.
Pada suatu ketika, majikannya iaitu salah seorang saudagar dari Hamdzan berkata, “Wahai Mubarak, aku ingin sebuah delima yang manis.”
Mubarak pun bergegas menuju ke salah satu pohon dan mengambil sebiji delima lalu dimakannya dan berkerutlah dahinya kerana rasa delima itu masam.
Dia pun memarahi Mubarak sambil berkata, “Aku minta yang manis malah kau beri yang masih masam! Cepat ambilkan yang manis!”
Mubarak pun bergegas pergi memetik buah delima daripada pohon yang lain. Setelah dibuka oleh majikannya, ia dapati rasanya sama seperti yang pertama tadi.
Semakin marahlah majikannya lalu meminta buah delima yang lain. Tetapi buah yang masih masam juga dipersembahkan buat majikannya.
Setelah itu, majikan Mubarak bertanya, “Mengapa kamu tidak tahu memilih buah mana yang manis dan mana yang masam?”
Mubarak menjawab. “Tidak.”
“Macam mana boleh jadi begini?” Tanya majikannya lagi.
Lantas Mubarak menjelaskannya, “Sebab aku tidak pernah makan buah dari kebun ini sampai aku benar-benar pasti tentang halalnya.”
“Kenapa engkau tidak mau memakannya?” Tanya majikannya hairan bercampur kagum.
“Kerana tuan belum mengizinkan aku untuk makan dari kebun ini.” Jawab Mubarak.
Pemilik kebun tersebut benar-benar hairan dan terkejut dengan jawapan Mubarak. Pemilik kebun tersebut mengagumi kejujuran budaknya ini, Mubarak menjadi besar dalam pandangan matanya, dan bertambah pula nilai orang ini di sisinya.
Kebetulan majikan tadi mempunyai seorang anak perempuan yang telah dilamar oleh ramai pemuda. Lantas beliau meminta pendapat Mubarak,
“Wahai Mubarak, menurut pandanganmu siapakah yang paling layak memperisteri puteriku?”
Dengan tenang Mubarak memberikan pendapatnya,
“Dulu orang-orang jahiliyah menikahkan puter-puteri mereka lantaran keturunan. Orang Yahudi menikahkan puteri mereka kerana harta benda, sementara orang Nasrani menikahkan puteri mereka kerana keelokan paras rupa. Dan umat ini menikahkan puteri mereka kerana agama."
Bertambahlah takjub dan kagum majikan tersebut dengan daya pemikiran budaknya ini. Akhirnya beliau balik dan memberitahu isterinya,
“Menurut pandangan-ku, tidak ada yang lebih layak untuk puteri kita ini selain Mubarak.”
Dengan izin dan kurniaan Ilahi, Mubarak pun berkahwin dengan puteri majikannya dan mertuanya memberikannya harta yang cukup melimpah.
Hasil daripada perkahwinan yang mulia ini, Allah SWT telah mengurniakan insan mulia yang diberi nama Abdullah. Abdullah bin al-Mubarak merupakan seorang ulama’ yang muktabar, Muhaddith, mujahid yang memperjuangkan agama Allah SWT sehingga akhir hayatnya.
Fudhail bin ‘lyad pernah berkata sambil bersumpah, “Demi pemilik Ka’abah, kedua mataku belum pernah melihat orang yang seperti Ibnu al-Mubarak”
Teman-teman yang dikasihi, insan dan perkahwinan yang mulia akan melahirkan keluarga yang mulia, keluarga yang mulia akan melahirkan masyarakat yang mulia, masyarakai yang mulia akan melahirkan negeri dan Negara yang mulia, negeri dan Negara yang mulia akan melahirkan dunia yang mulia.
Detik ini, insan jujur dan mulia semakin kabur dari pandangan. Yang jujur dan amanah dipandang pelik dan dikira tidak bijaksana. Kecurangan dan penipuan semakin mengganas namun dipandang mulia dan bijak.
Akhirnya jadilah masyarakat yang tempang dan pincang, maksiat dan jenayah berleluasa menyelusup setiap penjuru kehidupan manusia. Yang tua sudah tidak dihormati, yang kecil tidak lagi disayangi.
Kisah anakanda Nurin merupakan secebis kisha daripada robekan besar kemusnahan dan keruntuhan khalayak dunia. Fikir-fikiranlah.
Salam saying dan al-Fatihah buat semua mangsa janayah, semoga roh kalian bersama roh para Rasul dan pejuang kebenaran.
Petikan dari Majalah Al-Tariq, Jabatan Mufti Negeri Sembilan
No comments:
Post a Comment